TARIKH 21/3 atau 21 Mac adalah
istimewa. Ia ditetapkan sebagai Hari Sindrom
Down Sedunia dan tarikh ini melambangkan tiga salinan untuk kromosom ke-21;
keadaan genetik yang dikenali sebagai trisomi 21 atau Sindrom Down. Jumlah
individu Sindrom Down di negara kita besar, tetapi angka sebenar tidak
diketahui kerana masih ramai belum mendaftar dengan Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM). Namun mengikut kadar kejadian (satu kes Sindrom Down bagi
setiap 800 kelahiran) atau dua peratus daripada jumlah penduduk; dianggarkan
ada 50,000 individu Sindrom Down di negara kita.
Menurut Presiden Persatuan Sindrom
Down Malaysia (PSDM), Wan Hanizan Wan Ramlan, meskipun pelbagai kempen dan
aktiviti dijalankan, pemahaman dan penerimaan masyarakat terhadap sindrom ini
belum membanggakan. Sindrom ini sering disalah tafsir sebagai penyakit dan
individu Sindrom Down dipanggil ‘pesakit’. Ini salah kerana Sindrom Down adalah
keadaan yang berlaku ketika mengandung. Ia bukan penyakit yang dihidapi atau
penyakit berjangkit.
Sindrom Down berlaku apabila badan
seseorang terlebih satu kromosom pada pasangan ke-21. Lazimnya manusia ada 46
kromosom, tetapi individu Sindrom Down ada 47 kromosom — hanya ciri ini yang
membezakan individu normal dengan Sindrom Down.
“Yang menyedihkan ialah, masyarakat
kita masih percaya bahawa mendapat seorang anak Sindrom Down adalah satu bala.
Pasangan yang mempunyai anak Sindrom Down sering dipandang serong dan tidak
diterima mentua.
“Malah tidak kurang suami isteri yang
saling tuduh menuduh dan menafikan hakikat bahawa mereka adalah insan terpilih
untuk dianugerahkan anak istimewa ini.
“Pandangan masyarakat bahawa golongan
Sindrom Down tidak boleh diajar atau belajar juga menyebabkan mereka sering
tersisih daripada arus pembangunan dan tiada peluang mendapat pekerjaan sepadan
dengan keupayaan mereka.
No comments:
Post a Comment