Wednesday 26 June 2013

Kesan Jerebu dan Kesihatan


Pendedahan Tentang KESAN JEREBU DAN KESIHATAN Oleh Cikgu Norul Azahar bin Nordin
Kepada Murid-murid PPKI SK Datuk Wan Idris

Apakah Jerebu
Ia terjadi apabila keupayaan sistem udara persekitaran gagal menampung bebanan bahan cemar. Keadaan ini bertambah buruk sekiranya berlaku dalam cuaca yang stabil seperti keadaan kurang berangin. Ini akan menyebabkan bahan cemar tersebut tidak dapat diselerakkan ke tempat lain. Jerebu yang semakin menebal itu boleh menyekat pancaran matahari ke bumi. Oleh yang demikian, keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.
Indeks Pencemaran Udara (IPU)
IPU diperolehi daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan seperti berikut :-
Penduduk  terlibat perlu sentiasa mengetahui laporan kadar IPU dari semasa ke semasa dari media televisyen dan radio.
Kesan kesihatan
Komponen yang terdapat pada jerebu ialah karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida, ozon, habuk dan logam boleh membawa kesan yang buruk pada kesihatan manusia terutama golongan kanak-kanak dan warga tua. Begitu juga dengan individu yang menghidapi penyakit tertentu seperti asma, alahan, pneumonia dan penyakit paru-paru. Perokok dan mereka yang bekerja di kawasan terbuka turut berisiko tinggi.

Menurut Pakar Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, zarah terampai yang melebihi 10 mikron tidak dapat masuk ke dalam paru-paru kerana sistem penafasan kita mempunyai sistem penapisan yang baik. Walau bagaimanapun, sekiranya zarah terampai yang kurang daripada 10 mikron (PM10) masuk ke dalam sistem pernafasan, maka ia boleh merosakkan tisu paru-paru.

Begitu juga halnya dengan gas-gas berbahaya yang terkandung di dalam udara tercemar,yang  semuanya boleh mengganggu kesihatan. Karbon dioksida boleh mengganggu penyerapan oksigen di dalam darah, nitrogen dioksida pula boleh merangsang penyakit asma, sulfur dioksida akan menyebabkan ransang bronkus/ saluran pernafasan (bronchitis) dan ozon mencederakan membran mucus di dalam saluran pernafasan sehingga menyebabkan masalah radang paru-paru. Manakala, udara yang mengandungi sulfur dioksida yang tinggi akan menyebabkan kekurangan vitamin D. Vitamin D diperlukan untuk mencegah barah kolon dan buah dada.

Berikut adalah kesan karbon dioksida kepada kesihatan manusia (Rajuna,1996).
Tindakan pencegahan
Berikut adalah nasihat kesihatan mencegah kemudaratan jerebu terutama kepada orang ramai di Muar dan kawasan-kawasan lain yang sedang dilanda jerebu:
  1. Kurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.
  2. Sentiasa cuba berada di dalam bangunan (indoor). Jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (mask) yang sesuai.
  3. Pastikan udara di dalam rumah/bangunan sentiasa bersih.
  4. Kurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok.
  5. Apabila memandu, gunakan penghawa dingin. Pilih operasi (mode) kitaran udara dalaman.
  6. Banyak minum air kosong (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari).
  7. Basuh tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan/menghadiri aktiviti luar.
  8. Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan penyakit bertambah teruk.
  9. Orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu boleh diperolehi dari laman web http://www.infosihat.gov.my.

No comments:

Post a Comment